Jumaat, 28 September 2012

Selamat Menghadapi Imtihan Qobul !


Dengan nama ALLAH yang maha pemurah lagi maha mengasihani.

Bersyukur kita ke hadrat ALLAH s.w.t dengan nikmat dan kurniannya kita masih lagi diberi kesempatan untuk merasai nikmat iman dan islam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w. yang dicintai dulu, kini dan selama-lamanya.

Pertamanya, ahlan wasahlan diucapkan kepada mahasiswa dan mahasiwi baru ke pelembahan nil ini, yang telah berkorban meninggalkan tanah air yang tercinta bagi mencari ilmu di Bumi Mesir, Bumi yang penuh barakah, bumi yang menjadi kiblat umat islam sekarang. Perjalanan menuntut ilmu di Bumi Anbiya’ ini merupakan perjalanan yang sangat mulia yang sangat memerlukan kepada mujahadah dan pengorbanan yang sangat tinggi. Sejarah telah membuktikan bahawa ulama-ulama terdahulu sanggup berkorban dan bermusafir beribu-ribu batu demi hanya mencari ilmu seperti Al-imam As-Syafie dan sebagainya.

Mahasiswa dan mahasiswi sekalian,

Sepertimana yang telah sedia maklum, ujian kelayakan kali kedua yang akan diduduki oleh mahasiswa dan mahasiswi baru akan diadakan bagi melayakkan mereka untuk masuk ke dalam kuliah Universiti Al-Azhar. Dikesempatan ini, saya selaku Ketua Unit Pengetahuan Dan Bimbingan, Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) ingin mengucapkan "Selamat Menghadapi Imtihan", semoga usaha dan pengorbanan yang anda lakukan dapat menatijahkan suatu keputusan yang di impikan.

Mahasiswa dan Mahasiswi sekalian,

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud : “Doa itu adalah senjata orang mukmim” justeru saya berharap mahasiswa dan mahasiwi baru perlu istiqomah dalam berdoa memohon inayah dan taufiq daripada ALLAH s.w.t setiap waktu dalam keadaan susah dan senang supaya dipermudahkan di dalam segala urusan. Keyakinan yang tinggi perlu disandarkan kepada ALLAH s.w.t selepas usaha dan doa yang telah dilakukan. Segala masalah yang dihadapi oleh para mahasiswa perlu diketepikan dahulu. Fokus untuk menghadapi ujian kelayakan yang akan diambil serta letakkan target dan sasaran yang tinggi dalam setiap perkara, ini kerana Nabi Muhammad SAW mengajar umatnya untuk melakukan sesuatu perkara itu dengan bersungguh-sungguh sepertimana apabila kita ingin memohon syurga, hendaklah mohon syurga Firdaus iaitu syurga yang paling tinggi kedudukannya. Moga-moga dengan usaha dan doa kalian akan menghasilkan suatu natijah yang cemerlang. Kami sentiasa mendoakan untuk kejayaan kalian. Untuk akhirnya, ingatlah satu ayat di dalam Al-Quran yang bermaksud “Sesungguhnya Allah saw tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka”(surah Ar-Rad:11)

Selamat Maju Jaya dan Salam Imtihan dari saya,

Norsalam Bin Abu Bakar,
Ketua Unit Pengetahuan Dan Bimbingan,
Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor Di Mesir 2011/2012.